Skip to main content

Bola Sepak

Aidil Sharin sedia bantu Syafiq lonjak kredibiliti

syafiq-ahmad.jpg
Jurulatih Kedah Darul Aman, Aidil Sharin Sahak, enggan buat perbandingan terhadap pasukannya sekalipun corak permainan Sang Kenari tampak lebih ampuh musim ini.

Aidil Sharin sebaliknya menegaskan langkah itu diambil demi kebaikan bola sepak Malaysia tatkala mereka cemerlang merekodkan dua kemenangan berturut-turut dalam Liga Super musim ini.

Naib juara musim lalu ini menundukkan Kuala Lumpur (KL) City 3-2 di laman sendiri, malam tadi, selepas membuka langkah kanan menerusi kemenangan 1-0 ke atas Sarawak United minggu lalu.

Selain permulaan cemerlang dalam tempoh empat musim di bawah bimbingan ketua jurulatih dari Singapura itu, Lang Merah juga mempamerkan aksi mantap menerusi kudrat pemain tempatan berbanding dominasi import di jentera serangan dalam tiga musim terdahulu setakat ini. 

Pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad, turut menyumbangkan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam kemenangan malam tadi. 

"Ia bukan soal lebih baik atau tidak, saya di sini untuk membantu bola sepak Malaysia. 

"Apabila diberitahu khidmat Syafiq boleh didapati, dia sendiri mahu kembali jadi saya katakan ayuh bantunya kerana dia adalah seorang tonggak penting. 

"Benar dia bersama dengan kelab terbaik sebelum ini tapi dia jarang beraksi. 

"Sudah tentu saya terbuka hati untuk menjadikannya sebagai seorang pemain negara yang lebih baik. Jadi mari berharap dia akan dapat lebih banyak peluang lagi, lebih tekal dan dapat bersama skuad kebangsaan.

"Pasukan kebangsaan boleh menjadi lebih baik dengan kelibatnya kerana ketika ini Malaysia tiada penggempur.

"Apa yang penting kami dapat berinya sokongan yang baik dalam perlawanan dan latihan," kata Aidil Sharin. 





Selepas bolos enam gol daripada dua perlawanan Liga Super, jurulatih KL City, Bojan Hodak, sememangnya sudah menjangkakan tekanan hebat bagi memenuhi reputasi selaku juara bertahan Piala Malaysia.

"Ia sudah dijangkakan. Semua pihak menikmati permainan kami sebelum ini tetapi kini kami mula menjadi sasaran kelab lain. 

"Ini normal, kami cuma perlu beri tumpuan kepada aspek bertahan ketika berlatih. 

"Selepas bolos enam gol, keupayaan kami mula menjadi bualan. Dalam Piala Malaysia yang lalu kami antara pasukan yang jarang dibolosi," katanya pula.

 

Advertisement

Must Watch Video