Skip to main content

Bola Sepak

ACLE: Buriram tekad hukum JDT di SSI

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

kenny-dougall.jpg
Buriram United mempunyai cara untuk pastikan tidak tenggelam dengan laungan 34,000 penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Selepas buntu tanpa jaringan dalam pertemuan pertama di Bangkok minggu lalu, salah sebuah pasukan pasti akan tersingkir dalam pertemuan getir pusingan 16 Liga Juga-Juara Asia Elit (ACLE), malam esok. 

Namun, pemain import tengah dari Australia, Kenny Dougall, tidak mengendahkan faktor pemain ke-12 sambil mengingatkan skuad Harimau Selatan bahawa mereka cuma kekurangan sentuhan penyudah sahaja untuk menghukum seteru serantau itu. 

"Pertemuan pertama berakhir tanpa jaringan. Kami mahu mara, jadi kami perlu lebih tajam di depan gawang. 

"Kami tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja, kami bermain sebagai sepasukan. 

"Kedua-dua pasukan sering meledak banyak gol dan terbiasa mengecapi kemenangan. 

"Kedua-dua pasukan mahu menang. JDT sangka mereka bertahan dengan baik, begitu juga kami tetapi kami telah melepaskan peluang terhidang. 

"Kalau kami dapat pastikan kekentalan pertahanan, kami percaya mampu menang," katanya dalam sidang media praperlawanan di Gelang Patah , sebentar tadi. 

Dengan tekanan yang hadir, Dougall percaya rakan sepasukannnya juga memiliki pengalaman beraksi dalam aksi getir di stadium besar. 




"Kami akan turun dengan corak permainan sendiri dan mahu memenangi perlawanan.

"Kami perlu perbaiki. Masalah akan timbul kalau kami tidak mencipta banyak peluang. 

"Kami masih mengusahakannya kerana kami gemar menyerang dan mengawal permainan. Adakalanya pihak lawan akan mencetuskan masalah dan saya harap kami mampu selesaikannya," katanya lagi.  

Sementara itu, ketua jurulatih Buriram, Osmar Loss, menjelaskan perlawanan ini sama sekali berbeza berikutan penyingkiran menjadi taruhan. 

"Saya perlu pastikan pemain cukup cergas untuk memulakan permainan. Dalam aksi di tempat sendiri misalnya kami peragakan rentak lebih perlahan berbanding kebiasaan kerana ingin membina permainan.

"Satu gol sahaja akan mengubah segalanya maka kami perlu bersedia," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video