Ketua jurulatih TNB Thunderstars, Madzli Ikmar Mohd Nor, memberi reaksi spontan kurang senangnya mengenai prestasi pemain tempatan -- merujuk kepada kegagalan skuad kendaliannya memberikan tahap persembahan yang terpuji.
Meskipun anak buahnya muncul satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod sempurna menerusi tujuh kemenangan dalam kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) 2026, namun Madzli belum puas dengan mutu permainan anak didiknya ketika menewaskan UiTM HA-KPT 4-0, semalam.
Advertisement
Di sebalik aksi goyah TNB Thunderstars yang diikat UiTM seri tanpa jaringan dalam separuh masa pertama, tonggak import berkaliber, Jang Jong Hyung, muncul penyelamat menerusi sumbangan dua gol buat Thunderstars.
Selain Jong Hyung, Akhimullah Anuar Esook turut menjaringkan dua gol bagi mengekalkan aspirasi tiga kejuaraan musim ini.
"Inilah penyakit pemain tempatan. Apabila main dengan pemain tahap biasa-biasa ini, mereka ambil (sikap) sambil lewa. Walaupun perancangan permainan masih ikut tapi pendekatan individu, misalnya situasi lawan satu.
"Ketika dalam suku ketiga, saya pesan kepada anak buah kembali kepada asas permainan, objektif pasukan untuk mendapatkan kemenangan dan keluar dari kepungan pemain lawan.
"Kami nampak bergelut apabila dikawal ketat beberapa pemain lawan," katanya.
Thunderstars memperoleh tonik terbaik pada awal musim ini menerusi kejayaan menjulang Piala Sumbangsih dengan menumbangkan Terengganu Hockey Team (THT).