LIGA SUPER MSIA
Abu Bakar terkilan pemain keletihan
PKNP FC sekali lagi tumpas ketika perlawanan hampir tamat apabila pemain Melaka United, Ifedayo Olusegun Jeon, menggegar gawang pada masa kecederaan untuk menyaksikan pelawat membenam tuan rumah 2-1 dalam Liga Super di Ipoh, semalam.
Ini kenyataan perit yang perlu ditelan pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim.
"Kekalahan ini saya terima, cuma terkilan kerana saya lihat faktor keletihan menghilangkan fokus pemain pada akhir saingan," katanya.
Iklan
"Pelawat memang mempunyai pemain yang memiliki kelebihan daripada pelbagai aspek. Memang sukar perlawanan malam ini.
"Inilah perbezaan di antara faktor pengalaman, kealpaan dan kemahuan," tambahnya.
Kekalahan pada minit-minit akhir semalam adalah seperti ulangan perlawanan ketika menentang Perak dan Pahang dalam saingan terdahulu.
"Saya akui PKNP memang menghadapi pelbagai rintangan tetapi yakin sasaran untuk terus kekal dalam Liga Super akan dapat direalisasikan.
"Apa yang perlu dibuat ialah berlatih lebih kuat lagi dan melihat kembali segala kelemahan.
"Sekarang tumpuan kembali ke peringkat separuh akhir Piala FA menentang Pahang, Sabtu ini. Saya tahu tugas ini berat, terutama saingan di Kuantan untuk pusingan pertama," kata Abu Bakar lagi.
Kekalahan semalam menyaksikan PKNP kini turun ke tangga ke 10 liga dengan 17 mata.
Must-Watch Video



