EURO 2024
EURO 2024: Spalletti kesuntukan masa punca Itali bungkus awal
Luciano Spalletti memikul tanggungjawab atas penyingkiran Itali dalam EURO 2024 dan ketua jurulatih skuad Azzurri itu meluahkan dia berdepan kesuntukan masa untuk melakukan persiapan berhubung persembahan buruk mereka.
Juara bertahan itu tersingkir dalam pusingan 16 selepas dihukum menerusi jaringan Remo Freuler dan Ruben Vargas ketika Switzerland melakar kemenangan 2-0 di Berlin, awal pagi tadi.
Ia kekalahan pertama Itali dalam perlawanan kalah mati EURO sejak perlawanan akhir 2012 menentang Sepanyol selepas kejayaan menamatkan enam perlawanan tanpa kalah (tiga menang, tiga seri).
Iklan
Spalletti hanya dilantik pada September lalu sejurus Roberto Mancini meletakkan jawatannya dan menuju ke kancah Arab Saudi, lantas dia menggunakan sidang media selepas perlawanan untuk mengingatkan wartawan mengenai pelantikannya yang lewat.
"Saya perlu katakan ini walaupun bunyinya saya seperti sedang mencipta alasan. Sebelum pertandingan ini, jurulatih yang lain sudah mengendalikan 20 atau 30 perlawanan," katanya.
"Saya pula hanya mempunyai 10 perlawanan dan saya sudah pun berdepan tekanan hebat yang menuntut kemenangan daripada saya.
"Kemudian kami mempunyai beberapa pemain taruhan utama dilanda kecederaan dan hari ini kita boleh lihat bahawa daripada segi ketekalan, kami lebih rendah. Switzerland layak dengan cara yang adil."
Must-Watch Video