Peluang menyaksikan barisan pemain terbaik dunia beraksi di tanah air bukan hadir setiap hari.
Justeru, Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, mengajak peminat sukan boling padang negara untuk membanjiri Stadium Juara, Bukit Kiara bagi memberikan sokongan kepada lapan wakil Malaysia pada saingan World Bowls Series Finals 2026, dari 2 hingga 4 Disember ini.
Awalan menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai peluang istimewa buat peminat tempatan menyaksikan sendiri aksi pemain yang menghuni ranking tertinggi dunia, tanpa perlu ke luar negara.
Dia berharap kehadiran penyokong dapat memberikan suntikan semangat kepada atlet negara yang bakal berdepan persaingan sengit dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu.
“Saya ingin menguar-uarkan supaya memenuhkan venue menyaksikan barisan atlet terbaik dunia berentap di Malaysia. Ambil peluang untuk menyaksikan perlawanan bertaraf antarabangsa ini,” katanya.
Dalam masa sama, PLBM meletakkan sasaran untuk melihat wakil negara menamatkan saingan di kedudukan podium.
Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri diharap mampu dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya selepas atlet negara mendapat peluang menyesuaikan diri lebih awal dengan gelanggang portable indoor rink di venue berkenaan.
Awalan turut berharap kejohanan kali ini mampu mencetuskan suasana dan sokongan yang hampir sama seperti ketika Malaysia menganjurkan kejohanan Piala Dunia di venue sama tahun lalu.
Selain menjadi medan menguji kemampuan atlet negara, kejohanan ini turut membuka peluang kepada peminat tempatan mendekati sukan boling padang menerusi pertandingan yang menghimpunkan pemain bertaraf dunia.
Dengan sasaran podium menjadi KPI skuad negara, sokongan penyokong di Stadium Juara diharap dapat menjadi satu lagi kelebihan buat lapan wakil Malaysia dalam usaha mencipta keputusan membanggakan di laman sendiri.