Insiden 'baton jatuh' beri dua cerita berbeza dalam aksi hari terakhir Kejohanan Varsity Track And Field (VTF) di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam.
Pentas final 4x400m (meter) wanita hampir mencipta skrip sama merujuk kepada saingan di Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) apabila kuartet 4x400m wanita dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpaksa berputih mata kepada kuartet UPM dalam dua kejohanan lalu.
Namun, nasib kuartet 4x400m UPSI berubah di 400m terakhir di final VTF semalam.
Ketika pelari ketiga UPM, Nurul Aliah Maisarah Nor Asmi, sudah mendahului, insiden terlepas daripada tangan pelari keempat, Nur Shaqirah Cik Mat Kilau, menjadi titik tolak berubahnya nasib kuartet UPM di Stadium Keramat mereka sendiri.
Situasi itu digunakan sebaik mungkin pelari keempat UPSI, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, yang juga merupakan pemenang pingat emas 400m wanita melangkah laju bagi memastikan jarak selesa sebelum sampai ke titik penamat.
Lebih manis, ia juga merupakan rekod baru kejohanan dengan catatan 4:00.53s di Stadium UPM, Serdang.
"Kami perbaiki mentaliti semula kerana sebelum ini kami tewas kepada UPM di SUKIPT, kali ini kami mahu tunjukkan aksi terbaik kami.
"Kami cuba berikan yang terbaik, jika ada peluang terus tamatkan," kata Nur Awatif Jasmine Shahabuddin.
"Sebenarnya semasa saya terima baton itu saya tidak melihat pesaing saya jatuhkan baton itu. Saya fokus dengan larian sahaja." tambah Chelsea Cassiopea Evali Bopulas.
Dalam pada itu, saingan riben biru 100m lelaki, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, masih konsisten dalam catatan masanya.
Menepati jangkaan tiada kesulitan yang dihadapi Danish untuk menghadirkan emas buat UPSI dengan catatan 10.39s.
"Daripada aksi di Sukan Asia, ia perkara yang positif dapat raih catatan musim terbaik saya.
"Saya juga ada mengalami kecederaan ringan di bahagian pinggang dan hamstring. Jadi saya tidak mahu letakkan tekanan tinggi kepada diri saya agar kecederaan tidak menjadi lebih teruk kerana ada AUG nanti.
"Saya akan cuba perbaiki catatan masa di AUG nanti." kongsi pemenang emas 100m, Danish Iftikhar Muhammad Roslee.