Skip to main content

Sukan Lasak

Usia 60 tahun bukan penghalang! 'Pakcik Ariffin' takluk Ironman 70.3 Langkawi dengan gaya tersendiri

Usia 60 tahun bukan penghaland! 'Pakcik Ariffin' takluk Ironman 70.3 Langkawi dengan gaya tersendiri
Advertisement

Bagi sesetengah individu, usia 60 tahun mungkin menjadi alasan untuk memperlahankan langkah, namun bagi Ariffin Abdul Manan, angka itu bukan penghalang untuk terus mencabar kemampuan diri.

Lebih mesra dikenali sebagai Pakcik Ariffin, atlet ketahanan dari Jerantut, Pahang itu mencuri perhatian apabila berjaya menamatkan cabaran sulung IRONMAN 70.3 Langkawi pada 21 November lalu, meskipun tampil dengan penampilan cukup bersahaja berbanding peserta lain.

Advertisement

Dengan hanya menyarungkan seluar khaki, baju tanpa lengan, dan kopiah, Pakcik Ariffin membuktikan bahawa semangat serta keazaman jauh lebih penting daripada penampilan atau kelengkapan mahal.

Dia menamatkan perlumbaan dalam masa tujuh jam, 19 minit dan 57 saat, sekali gus menduduki tempat kesembilan daripada 14 peserta yang menamatkan saingan kategori lelaki 60 hingga 64 tahun.

Advertisement

Cabaran itu bukan calang-calang apabila peserta perlu mengharungi keseluruhan jarak 113 kilometer, merangkumi renang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal 90 kilometer dan larian 21.1 kilometer.

Lebih menarik, penyertaan Pakcik Ariffin dalam perlumbaan itu sebenarnya didaftarkan oleh anaknya sendiri, Thiaduddin, 28, yang turut mengambil bahagian dalam acara sama.

Namun, perjalanan Pakcik Ariffin dalam dunia sukan ketahanan bukan bermula semalam.

Sekitar 20 tahun lalu, Ariffin mula berlari ketika menetap di Kuala Lumpur dengan satu tujuan mudah -- mahu berhenti merokok.

Apa yang bermula sebagai usaha mengubah gaya hidup akhirnya berkembang menjadi minat mendalam terhadap aktiviti larian dan cabaran ketahanan.

Kini, rutin hariannya masih dipenuhi aktiviti fizikal. Berlari ke masjid dan berjalan kaki ke Pekan Sari antara amalan yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya di Jerantut.

Malah, semangatnya turut terserlah menerusi penyertaan dalam Taman Negara Ultra 2026 di Kuala Tahan, Jerantut, pada 25 Oktober lalu.

Dalam acara larian denai sejauh 30 kilometer itu, Pakcik Ariffin menamatkan cabaran dalam masa tujuh jam, 32 minit dan 36 saat, dengan berkaki ayam serta bertongkat kayu.

Dia menduduki tempat ke-72 keseluruhan daripada 326 peserta, selain berada di kedudukan ke-13 kategori lelaki veteran.

Lebih mengagumkan, Ariffin dilaporkan berbasikal kira-kira 100 kilometer dari Ulu Cheka, Damak ke lokasi acara sebelum menyertai cabaran berkenaan.

Dalam aspek latihan dan kelengkapan pula, Pakcik Ariffin kekal dengan pendekatan sederhana.

Antara aset berbasikalnya ialah sebuah basikal Cannondale CAAD9 terpakai yang dibeli daripada seorang rakan warga Australia pada 2013 dengan harga RM3,500.

Tiada kemewahan atau kelengkapan serba canggih yang menjadi keutamaan. Sebaliknya, konsistensi latihan dan kesungguhan untuk terus bergerak menjadi kekuatan utamanya.

Kisah Pakcik Ariffin membawa satu mesej cukup besar: usia bukan penamat kepada impian, sebaliknya tidak lebih daripada angka apabila seseorang masih memiliki keinginan untuk mencabar diri.

Daripada seorang lelaki yang mula berlari untuk meninggalkan tabiat merokok, kini dia berjaya menamatkan cabaran IRONMAN 70.3 pada usia 60 tahun.

Mungkin dia bukan peserta terpantas, bukan juga atlet dengan kelengkapan paling lengkap. Namun, di Langkawi, Pakcik Ariffin membuktikan sesuatu yang jauh lebih bermakna -- selagi semangat masih menyala, perjalanan belum berakhir.

Ada yang mengejar masa untuk menjadi juara. Pakcik Ariffin pula membuktikan bahawa kemenangan sebenar ialah apabila usia 60 tahun masih mampu berdiri di garisan penamat, selepas mengharungi perjalanan yang tidak semua orang sanggup tempuhi.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Related Topics

Must Watch Video