Persoalan mengenai siapakah bakal mengemudi Harimau Malaya mungkin menemui jawapan seawal minggu depan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka mengumumkan pelantikan ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan.
Dalam perkembangan itu, nama pengendali kelab, Bojan Hodak dilihat sebagai antara calon terbaik untuk mengisi kekosongan berkenaan, susulan hasrat mendapatkan khidmat jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu yang dikatakan tidak menjadi kenyataan.
Perkara itu dibangkitkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam menerusi perkongsian di platform Threads.
Hodak bukan nama asing dalam bola sepak Malaysia, malah pengalamannya mengendalikan beberapa pasukan tempatan menjadikan beliau antara calon yang berpotensi untuk dipertimbangkan bagi mengemudi skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi daripada FAM yang mengesahkan pelantikan pengendali dari Croatia itu.
Sekiranya Hodak benar-benar dipilih, tugas besar menantinya untuk membentuk semula kekuatan Harimau Malaya, mengembalikan keyakinan penyokong serta memastikan skuad negara kembali kompetitif di pentas antarabangsa.
Kini, perhatian terarah kepada pengumuman FAM minggu depan. Adakah Bojan Hodak bakal menjadi wajah baharu di bangku kejurulatihan Harimau Malaya?