Jaguh skuasy negara, S. Sivasangari semakin hampir untuk menambah satu lagi kejuaraan dalam kariernya apabila mengesahkan tiket ke final perseorangan wanita Terbuka China 2026.
Pemain pilihan utama itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan wakil Hong Kong, Sin Yuk Chan, menerusi kemenangan straight game 11-3, 11-5, 11-8 dalam aksi separuh akhir semalam.
Sivasangari jelas menguasai perlawanan sejak awal apabila tidak memberikan ruang kepada lawannya untuk mengembangkan permainan, sebelum menutup kemenangan dalam tiga set.
Kemenangan itu menyaksikan pemain negara berkenaan hanya dipisahkan satu perlawanan daripada gelaran juara di China.
Namun, cabaran lebih getir menanti apabila Sivasangari dijadual bertemu pilihan kedua dari Jepun, Satomi Watanabe, dalam perlawanan akhir.
Watanabe terlebih dahulu mengesahkan tempat ke final selepas menyingkirkan pilihan kelima dari Itali, Marta Stefanoni, 11-8, 11-6, 11-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Pertembungan dengan Watanabe pastinya menjadi ujian penting buat Sivasangari yang perlu mengekalkan ketenangan dan konsistensi sekiranya mahu membawa pulang gelaran kejuaraan.
Perlawanan akhir perseorangan wanita dijadual berlangsung pada jam 7 malam ini.