Selepas pernyaataan ‘benar-benar tidak peduli’ oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini, Presiden FIFA, Gianni Infantino hari ini memaklumkan bahawa Trump menyambut baik penyertaan Iran ke Piala Dunia yang akan berlangsung di AS, Mexico dan Kanada tidak lama lagi.
Infantino berkata dia telah bertemu Trump dan membincangkan situasi semasa di Iran serta kelayakan pasukan negara itu ke kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.
Advertisement
“Kami bercakap tentang situasi semasa di Iran, dan hakikatnya Iran telah layak untuk menyertai Piala Dunia FIFA 2026,” katanya dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.
Semasa perbincangan itu juga, Trump mengulangi bahawa pasukan Iran sudah tentu dialu-alukan untuk bersaing dalam kejohanan itu di AS.
Menurut Infantino, Piala Dunia adalah platform penting untuk menyatukan masyarakat global.
“Kita semua memerlukan acara seperti Piala Dunia untuk menyatukan orang ramai lebih daripada sebelumnya,” katanya lagi.
Iran sebelum ini layak ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut selepas muncul juara Kumpulan A dalam pusingan ketiga kelayakan Asia tahun lalu.
Namun, ketegangan geopolitik yang semakin memuncak di rantau itu menimbulkan persoalan sama ada pasukan Iran akan benar-benar beraksi di bumi AS.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, sebelum ini menyatakan bahawa serangan ketenteraan yang berlaku melibatkan AS dan I***el boleh memberi kesan kepada penyertaan Iran dalam kejohanan tersebut.
Dalam undian kejohanan, Iran ditempatkan dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir dan New Zealand.
Perlawanan melibatkan Iran dijadual berlangsung di AS dengan dua aksi di Los Angeles dan satu di Seattle.
Apa yang lebih menarik lagi, sekiranya Iran dan AS menamatkan saingan kumpulan masing-masing di tangga kedua, kedua-dua pasukan berpotensi bertemu dalam perlawanan kalah mati pada 3 Julai di Dallas.