Bahang kehangatan perlumbaan pusingan keempat Toyota Gazoo Racing musim kelapan yang juga merupakan aksi terakhir musim ini semakin sengit selepas mengharungi sesi latihan bebas rasmi hari ini.
Pendahulu saingan yang juga calon pilihan muncul juara keseluruhan kelas Super Sporting, Mitchell Cheah, mempertaruhkan kombinasi serta keserasiannya bersama ikon permotoran negara, Tengku Djan Ley, sebagai aspirasi menjadi yang terbaik buat kali kedua peribadi.
Advertisement
Perkara itu susulan Mitchell merupakan juara keseluruhan TGR musim keenam, juga menerusi formula sama dengan Tengku Djan.
Mitchell merekodkan tiga kemenangan dalam enam perlumbaan musim ini, atas faktor itu, terpaksa beraksi dengan bebanan 'success ballast' 50kg kilogram dalam jenteranya.
Situasi itu membuatkan jenteranya semakin perlahan khususnya ketika pecutan lurus di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat dan Sabtu ini.
"Saya berlumba bersama Tengku Djan untuk empat musim terakhir ini, kami bekerja dengan baik. Terima kasih Tengku Djan dan pasukan memberikan saya jentera terbaik agar saya mampu memberikan aksi terbaik.
"Menang buat kali kedua pada saya sangat diingati berbanding kali pertama kerana saya menjadi pemandu kedua selepas Tengku Djan. Bekerja dengannya menambah pengalaman saya." katanya.