"Minat mengatasi segalanya!"
Itu pendirian pemandu veteran saingan Toyota Gazoo Racing (TGR) kelas sporting, Datuk Shanmuganathan Arumugam. Pada usia 57 tahun, Shanmuganathan membuktikan usia bukan penghalang untuk menceburi sukan permotoran.
Advertisement
Pelbagai kekangan yang dihadapinya, antaranya tanpa sokongan profesional, malah barisan mekanik jentera Kashash Vina Motorsports Racing daripada mekanik syarikat miliknya dan bukannya dari tenaga pakar profesional.
Namun, Shanmuganathan masih kekal relevan muncul satu-satunya pemandu yang masih mewarnai saingan sejak musim pertama pada 2017.
Ironinya, Shanmuganathan tidak keseorangan di litar perlumbaan susulan ditemani anaknya, Ashen Shanmuganathan.
Namun, Ashen bukan rakan pemandu, malah Ashen muncul salah seorang pencabar ayahnya dalam saingan kelas sporting.
"Berada dalam sukan empat roda antara ayah dan anak, anak saya ada minat yang sama dan kami menikmati peluang sekali seumur hidup ini.
"Saya minat berlumba, ia satu kepuasan dapat mengatas pelumba lain. Toyota memberikan medan buat pelumba muda terutamanya yang tiada pengalaman. Toyota melahirkan pelumba muda," kata Datuk Shanmuganathan Arumugam.
"Ia seperti satu ikatan antara saya dan ayah, seperti hobi. Terima kasih Toyota atas pengalaman ini." tambah Ashen Shanmuganathan.