Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dalam satu kenyataan sebentar tadi, memaklumkan bahawa berita yang tular di media sosial berhubung dakwaan peletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) badan itu adalah tidak benar dan tidak berasas.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi, dalam kenyataan itu, berkata tiada sebarang peletakan jawatan secara beramai-ramai atau pembubaran barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM seperti yang didakwa.
Advertisement
"Untuk makluman, pelantikan dan pemilihan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dibuat melalui saluran yang sah dan berperlembagaan, hasil daripada proses pengundian di Kongres FAM selaras dengan Statut FAM serta garis panduan yang ditetapkan oleh badan induk bola sepak antarabangsa.
"FAM menegaskan bahawa struktur kepimpinan sedia ada terus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan penuh komitmen demi memastikan kelangsungan tadbir urus serta pembangunan bola sepak negara.
"FAM kekal komited untuk terus beroperasi secara telus, profesional dan berintegriti demi
kepentingan bola sepak Malaysia," katanya.