Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memastikan akan ada wakil negara dalam final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia esok apabila menewaskan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, secara set langsung dalam aksi separuh akhir di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.
Perlawanan berlangsung sengit seawal pukulan pertama dengan kedua-dua beregu saling berkejaran mata, di mana Aaron dan Wooi Yik lebih memilih berada di kedudukan mengejar.
Advertisement
Bagaimanapun, ketika kedudukan terikat 21-21, wakil negara itu kekal tenang memungut dua mata terakhir untuk menamatkan set pertama dengan kemenangan 23-21.
Skrip sama berulang dalam set kedua, di mana Aaron dan Wooi Yik ketinggalan di belakang dan sewaktu berada di kedudukan 10-12, mereka memperoleh enam mata berturut-turut untuk mendahului 16-12 sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan 21-18 selepas secara keseluruhan bertarung selama 50 minit.
Menanti mereka dalam penentuan gelaran esok ialah beregu nombor satu dunia dan pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.