Langkah beregu campuran veteran Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai, tersekat dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong apabila tewas kepada pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, di Kai Tak Sports Park sebentar tadi.
Turun dengan status bukan pilihan, pasangan suami isteri itu cuba memberikan tentangan sejak dari awal tetapi selepas interval di angka 11, mereka mula membenarkan lawan jauh mendahului sebelum tewas set pertama 17-21.
Skrip hampir sama berlaku dalam set kedua dan biarpun Soon Huat dan Shevon berhasil menyamakan kedudukan 16-16, mereka terpaksa akur dengan keampuhan lawan untuk tewas 18-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama 39 minit.