Pengeluar minuman isotonik nombor satu negara, 100PLUS, terus menunjukkan komitmen dalam menyokong pembangunan sukan negara apabila turut hadir memberikan sokongan kepada peserta Program Sukan Media MSN-SAM 2026 yang berlangsung pada 21 dan 22 November, bermula dari Majlis Sukan Negara dan tamat di Lumut, Perak.
Penglibatan 100PLUS dalam program itu mencerminkan hubungan kerjasama erat bersama Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah terjalin sejak tahun 2000. Sepanjang tempoh lebih dua dekad itu, kedua-dua pihak terus berganding bahu dalam menyokong pelbagai inisiatif pembangunan sukan serta memperkukuh ekosistem sukan negara.
Program Sukan Media MSN-SAM 2026 menghimpunkan kira-kira 150 peserta dalam kalangan pengamal media menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang bagi mengeratkan hubungan silaturahim, memupuk semangat berpasukan serta membuka ruang jaringan profesional antara peserta.
Antara pengisian utama program selama dua hari itu termasuk aktiviti treasure hunt pada hari pertama, diikuti sesi santai dan jaringan bersama peserta. Pada hari kedua, program diteruskan dengan aktiviti telematch dan permainan dinamik sebelum sesi refleksi, majlis penutup serta penyampaian hadiah.
Sokongan berterusan 100PLUS terhadap program ini turut memperlihatkan komitmen jenama berkenaan dalam menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, selain menghargai peranan pengamal media sebagai antara rakan penting dalam pembangunan serta penyampaian maklumat sukan kepada masyarakat.