Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, terus mencipta sensasi apabila layak ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark dengan menewaskan pasangan Jepun, Akira Koga-Natsu Saito, di SJF Bank Arena sebentar tadi.
Pasangan negara itu mencipta kejutan apabila mudah menumbangkan gandingan pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, dalam perlawanan sebelumnya dan mereka mengekalkan rentak cemerlang itu untuk ke separuh akhir.
Pang Ron dan Pei Jing menguasai penuh aksi set pertama untuk tidak pernah ketinggalan sejak dari awal sebelum menang 21-15.
Tentangan berbeza dihadapi mereka dalam set kedua, di mana Koga dan Saito sentiasa menghantui mata mereka tetapi selepas mengikat kedudukan 22-22, pasangan negara itu tenang meraih dua mata terakhir untuk mengesahkan kemaraan.
Menanti mereka dalam penentuan ke final esok ialah pemenang di antara pilihan utama dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, dan pilihan ketujuh dari Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Chan.