Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Denmark apabila mudah mengatasi gandingan Jepun, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita, di SJF Bank Arena sebentar tadi.
Turun selaku pilihan keempat, Aaron dan Wooi Yik menguasai penuh aksi dalam set pertama sehingga pada satu ketika jauh mendahului 13-5 sebelum mencatatkan kemenangan 21-16.
Dalam set kedua, gandingan negara itu tidak pernah ketinggalan sejak meraih mata pertama untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan kemenangan 21-18 selepas secara keseluruhan bertarung selama 36 minit.
Menanti mereka dalam penentuan ke final esok ialah beregu pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.