Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik tetapi Penang berjaya merobek gawang Harimau Selatan sebanyak dua kali ketika tewas 2-7 dalam aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Bandaraya sebentar tadi.
JDT membuka jaringan seawal minit ke-16 gandingan dua penyerang baharu skuad negara, Bergson da Silva dan Manuel Hidalgo, di mana lintangan Hidalgo dimanfaatkan sepenuhnya Bergson untuk menewaskan Nor Hakeem Hamidun.
Menjelang ke bilik persalinan, seorang lagi pemain baharu Harimau Malaya, Brad Tapp, menggandakan kelebihan JDT dengan meledakkan jaringan jauh gemilangnya dalam waktu kecederaan.
Seminit selepas perlawanan bersambung, Penang mengejutkan JDT apabila Enzo Célestine berhasil menghidu hantaran lintang cantik Haqimi Azim Rosli sebelum menanduk masuk bola melepasi jangkauan Christian Abad Amat.
Bagiamanapun, JDT hanya memerlukan lapan minit untuk mengembalikan kelebihan dua gola hasil jaringan Marcos Guilherme.
Malang buat Penang tidak lama selepas itu apabila mereka terpaksa merehatkan Haqimi Azim dan penjaga gol utama, Nor Hakeem, gara-gara kecederaan.
Kehilangan dua tonggak itu jelas menjejaskan rentak Harimau Kumbang, di mana mereka dibolosi empat gol berturut-turut, masing-masing menerusi jaringan Stoichkov (M-63), Shahab Zahedi (M-56), Tapp (M-70) dan Arif Aiman Hanapi (M-90+4).
Menuju ke wisel penamat, Penang sekali lagi merobek gawang JDT, di mana pemain gantian, Khalaif Naskam, melakukan gerakan satu dua menarik dengan Akid Zamri sebelum melepaskan lambungan yang menewaskan Abad Amat.
Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu dalam aksi timbal balik di Iskandar Puteri pada 9 Oktober ini.