Majlis Sukan Negara (MSN) sedia mengkaji semula peraturan atlet keluar malam melibatkan mereka yang menetap di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.
Menurut Ketua Pengarah MSN, Ariffin Mohd Ghani, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh melibatkan perbincangan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS), barisan pegawai dan atlet kebangsaan.
Peraturan itu perlu bersifat fleksibel dan tidak terlalu ketat selain memerlukan peranan penuh individu yang dipertanggungjawabkan.
"Kami diminta untuk menilai semula, dan mungkin ia akan dipendekkan sedikit tetapi kita perlu menilainya secara menyeluruh," katanya kepada Astro Arena.
"Mungkin kami juga perlu mendapatkan pandangan atlet yang menginap di sini (MSN).
"Dalam masa terdekat ini, Menteri (Belia dan Sukan, Taufiq Johari) juga akan mengadakan sesi townhall dengan atlet, jadi mungkin ia akan dibincangkan nanti.
"Kami masih mengekalkan peraturan sedia ada dan menasihatkan atlet agar mematuhi peraturan berkenaan."
Isu 'curfew' atlet mendapat perhatian selepas insiden kemalangan melibatkan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2026, Hafizuddin Roslin, yang kehilangan lengan kanan dalam tragedi itu.