Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Star City 4-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar sebentar tadi.
Gergasi Merah dikejutkan tuan rumah pada minit ke-18 apabila Moses Atede bertindak bijak menghidu lorongan Pedro Santos sebelum melakukan gerakan solo menarik untuk menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Bagaimanapun, pendahuluan itu hanya bertahan selama tiga minit apabila ayam tambatan Selangor, Chrigor Moraes, kembali menyamakan kedudukan menerusi tandukan yang tepat menuju ke penjuru kanan bawah gawang Farhan Abdul Majid.
Selangor kemudian berada di depan buat kali pertama pada minit ke-42, di mana Vitor Pernambuco meledakkan rembatan voli padu dari dalam kawasan penalti selepas menerima bola muntah susulan percubaan awal Faisal Halim.
Selangor melebarkan kelebihan mereka dalam babak kedua menerusi satu lagi gol Moraes, yang melakukan geledekan menewaskan Farhan sebelum mudah menolak bola ke dalam gawang yang sudah kosong pada minit ke-61.
Moraes kemudian melengkapkan hatrik pada minit ke-87 menerusi satu lagi gerakan solo untuk memastikan kemenangan 4-1 Selangor menjelang aksi timbal balik di Stadium MBPJ pada 10 Oktober depan.