Skip to main content

SUKMA

SUKMA Selangor 2026: Bahang temasya kian terasa!

SUKMA Selangor 2026: Bahang temasya kian terasa!

Bahang SUKMA Selangor 2026 dan Para SUKMA Selangor 2026 semakin dirasai apabila acara larian obor temasya itu tiba di lokasi kedua di Padang Laman Seni Safari pada Ahad.

Program berkenaan dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang sempena Hari Tanpa Kenderaan peringkat MBDK dengan sambutan cukup meriah membabitkan lebih 1,500 peserta.

Acara larian sejauh 3.2 kilometer itu bermula sejurus simbolik penyerahan obor daripada wakil Majlis Bandaraya Shah Alam yang diketuai Timbalan Datuk Bandar, Safriah Md Azhar kepada Timbalan Datuk Bandar Klang, Mohd Zary Affendi Mohd Arif.

Suasana di sekitar lokasi program cukup meriah dengan kehadiran peserta pelbagai peringkat umur yang bersama-sama memeriahkan larian sambil menyemarakkan semangat menjelang temasya terbesar negara itu.

Selain mempromosikan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, program tersebut turut menjadi platform menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah tanpa penggunaan kenderaan.

Dalam pada itu, Mohd Zary memaklumkan persiapan venue pertandingan di Klang kini berada pada tahap 90 peratus siap menjelang temasya yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Menurut beliau, sebanyak tujuh jenis sukan akan dipertandingkan di Klang dan semua fasiliti dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan.

“Kita kini berada di landasan yang sangat baik. Persiapan venue berjalan lancar dan kita yakin semua kemudahan akan berada pada tahap terbaik apabila temasya bermula nanti,” katanya.

Dengan berbaki hanya 84 hari sebelum pembukaan rasmi SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, kemeriahan larian obor itu jelas membuktikan semangat rakyat Selangor semakin memuncak dalam menyambut temasya sukan terbesar negara tersebut.

Related Topics

Must Watch Video