Beregu campuran negara, Wee Yee Hern-Vannee Gobi, meneruskan momentum luar biasa apabila muncul juara Kejohanan Antarabangsa Syed Modi 2026, sekali gus meraih gelaran kedua mereka tahun ini.
Kejayaan itu hadir selepas gandingan berkenaan mencipta kejutan dengan merangkul gelaran Jelajah Dunia pertama menerusi kemenangan di Kaohsiung Masters sebelum ini.
Yee Hern-Vannee Gobi mengesahkan kemaraan ke pentas final selepas menewaskan wakil tuan rumah, Sathwik Reddy Kanapuram-Reshika Uthayasooriyan, menerusi kemenangan straight set 21-17, 21-17 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Akademi Badminton BBD, Uttar Pradesh.
Momentum positif itu diteruskan di pentas final apabila mereka berdepan gandingan Indonesia, Jafar Hidayatullah-Rinjani Kwinnara Nastine.
Tidak mensia-siakan peluang memburu kejuaraan kedua musim ini, pasangan negara itu sekali lagi mempamerkan aksi meyakinkan untuk menundukkan lawan dengan keputusan 21-17, 21-17.
Kemenangan tersebut bukan sahaja mengesahkan status mereka selaku juara Syed Modi, malah menjadi bukti perkembangan positif gandingan itu selepas kejayaan di Kaohsiung.
Dua gelaran dalam satu musim menjadi pencapaian penting buat Yee Hern-Vannee Gobi, yang kini semakin menunjukkan kemampuan untuk mencabar pasangan beregu campuran lain di pentas antarabangsa.