Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Selangor 2026 menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor berkongsikan jumlah insentif menanti penyumbang pingat emas buat kontinjen Selangor.
Bagi pemenang pingat emas acara individu hingga kumpulan bertiga, insentif sebanyak RM10,000 menanti mereka, sementara buat kumpulan berempat hingga 10 atlet pula setiap atlet secara individu akan menerima RM7000, manakala untuk sukan berkumpulan dengan 10 atlet ke atas akan menerima RM5000.
Jumlah itu akan bertambah sekiranya Selangor muncul sebagai juara keseluruhan dalam temasya edisi ke-22 itu, selain jumlah insentif itu turut terpakai buat kontinjen Para Sukma Selangor.
"Untuk pingat emas bagi acara individu hingga kumpulan bertiga, kami menetapkan insentif RM10,000, jika menjadi juara keseluruhan saya akan naikkan kepada RM15,000.
"Untuk kumpulan berempat hingga 10 atlet, kami tetapkan setiap individu nilainya adalah RM7000 setiap seorang, jika menjadin juara keseluruhan akan dinaikkan kepada RM10,000.
"Untuk 10 orang ke atas seperti bola sepak, kami tetapkan RM5000, namun jika menjadi juara keseluruhan setiap individu akan mendapat RM7000.
"Insentif ini juga terpakai buat atlet Para Sukma juga." kongsinya.