Olahraga Malaysia (MA) disaran agar mengubah pendekatan dengan mengumumkan barisan atlet lebih awal untuk menghadapi Sukan SEA 2027 tatkala Malaysia bakal bertindak sebagai tuan rumah.
Pandangan itu diluahkan bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad, yang menggesa MA tidak mengumumkan senarai atlet pada saat-saat akhir, lebih-lebih lagi dalam acara balapan.
Advertisement
Langkah itu secara tidak langsung akan memberi kesempatan kepada jurulatih dan atlet sendiri untuk menyusun perancangan tentang bilakah mereka wajar mencapai kemuncak prestasi dalam tempoh semusim.
Seorang atlet secara ideal hanya mampu berada di kemuncak prestasi sebanyak tiga kali sahaja dalam semusim, dan jika atlet dipaksa untuk kekal mengerah kudrat, maka risiko kecederaan juga pasti meningkat.
Dan sebagai atlet, ini aspek yang paling ditakuti.
"Sepatutnya MA memuktamadkan barisan atlet selepas sesi pemilihan terakhir, Terbuka Malaysia.
"Ini supaya atlet dapat buat persiapan dan capai kemuncak prestasi Sukan SEA.
"Dalam tempoh untuk nama tersenarai, atlet terpaksa berlatih dan kena capai kemuncak prestasi ketika dalam sesi pemilihan.
"Sebab itu pelari seperti Azreen Nabila (Alias) dilanda kecederaan.
"MA perlu tetapkan satu tarikh (akhir untuk atlet terpilih), supaya mereka dapat fokus untuk (jelmakan) prestasi terbaik dalam Sukan SEA," katanya.