Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, sekali lagi membuatkan penonton tidak senang duduk sebelum mengesahkan tiket ke final Sukan SEA Thailand, hari ini.
Ironinya, keakraban dua pemain ini tiada galang gantinya.
Advertisement
Tatkala Pearly tidak berada dalam kesihatan yang baik, Thinaah tidak akur dengan situasi malah tenang serta bijak mengawal gelanggang, demi slot final dengan kemenangan tiga set ke atas wakil Indonesia.
"Saya tahu dia kepenatan. Tapi kami saling memberi sokongan kepada sesama sendiri.
"Kami tidak kalah kepada diri sendiri," kata Thinaah.
Begitupun, situasi itu langsung tidak mematahkan semangat mereka, malah Pearly mengakui Thinaah banyak mainkan peranan penting sepanjang perlawanan berlangsung.
Tamat perlawanan, satu situasi yang cukup harmoni ditampilkan beregu wanita utama negara ini, dan kedua-duanya saling memuji selepas merealisasikan final pertama mereka dalam Sukan SEA.
Sedekad tanpa emas dari beregu wanita, mereka bersedia untuk menamatkan kemarau selepas kali terakhir podium utama dilakar Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho dalam Sukan SEA Singapura 2015.
Pearly turut mengakui tahap fizikalnya agak menurun pada hari ini.
"Saya menggunakan mental untuk bertahan.
"Saya sangat bangga dengan Thinaah. Dia beraksi dengan sangat baik pada hari ini dan banyak menampung saya.
"Dia sangat membantu dan tanpa dia, kami tidak mampu memenangi perlawanan ini," katanya.