Yang diidamkan masih belum dicapai, itu mungkin kata-kata terbaik untuk menceritakan tentang perjalanan pasukan negara yang tumpas 0-4 kepada Filipina hari ini dalam Mobile Legend Bang Bang (MLBB) kategori lelaki, Sukan SEA Thailand.
Bagi kapten pasukan, Idreen Abdul Jamal atau lebih dikenali sebagai Momo, ibarat misi yang belum tercapai apabila masih lagi gagal memecahkan badi temasya dwitahunan itu, dia mahu peluang untuk melunaskan misi ketika Malaysia bertindak sebagai tuan rumah, dua tahun lagi.
Advertisement
"Kami mendominasi awal dan pertengahan permainan tapi pihak lawan pamer kebangkitan.
"Kalau boleh kami ingin elakkannya tapi mungkin kerana terlalu ghairah, pada masa itu kami mungkin kurang disiplin.
"Saya harap dikekalkan untuk edisi dua tahun lagi agar berpeluang untuk pecah kebuntuan ini," katanya.
Sementara itu, jungler Malaysia, Muhammad Haqqullah atau lebih dikenali sebagai Sekys, menganggap penganjuran untuk e-sukan Sukan SEA Thailand ibarat langit dan bumi jika hendak dibandingkan dengan kejohanan MLBB di luar.
Berstatus sebagai antara pemain MLBB terbaik dunia, Sekys yang kali pertama beraksi dalam Sukan SEA berharap penganjuran di Malaysia kelak akan menjadi lebih hebat lagi.
"Kemudahan venue dan peralatan di sini dan MLBB macam langit dan bumi.
"Kalau buat Malaysia kelak, saya rasa akan lebih baik lagi," katanya.