“Saya telah ambil hak orang lain."
Perasaan itu dikongsikan atlet angkat berat wanita negara kategori bawah 48 kilogram, Irene Jane Henry, selepas menamatkan saingan Sukan SEA Thailand di kedudukan kelima.
Advertisement
Meskipun menyedari empat pencabar utama dalam kategori ini merupakan pemenang pingat temasya dwitahunan itu, suara kecil dalam dirinya seringkali menyatakan ia tidak mustahil untuknya merebut kedudukan podium.
Sejurus tamat saingan, perasaan ralat menyelubungi diri atlet dari Tambunan, Sabah itu memandangkan negeri Borneo tersebut merupakan antara kilang pengeluar bakat utama bagi angkat berat.
Begitupun, rakyat Malaysia perlu tahu, Irene Jane melalui transformasi menakjubkan meskipun baru sahaja menyertai program kebangsaan.
Dia mengangkat jumlah bebanan tambahan 7kg dalam temasya ini dengan catatan jumlah angkatan keseluruhan, 169kg, menerusi 75kg snatch dan 94kg clean and jerk.
"Saya berasa gugup kerana kebiasaannya dalam pertandingan, suasana di depan saya gelap.
"Tapi kali ini saya berasa ada sedikit gangguan.
"Saya perlu perbaiki teknik penafasan dan fokus kepada diri sendiri, bukannya orang lain.
"Ini tahun pertama saya dalam program kebangsaan. Ada naik dan turun, kadangkala mental juga sampai menangis.
"Saya juga agak tertekan sebab berasakan ambil hak atlet lain yang lebih baik.
"Tapi saya sentiasa mahu berikan yang terbaik," katanya.
