Skuad B-23 negara pula berdepan ranjau untuk melunaskan misi ke separuh akhir Sukan SEA Thailand apabila pengendalinya, Nafuzi Zain, mengesahkan Haqimi Azim Rosli belum pasti kembali memperkuatkan pasukan bertemu Vietnam.
Penyerang Kuala Lumpur (KL) City itu kembali ke tanah air untuk urusan pemergian ayahanda tercinta sambil pemain tengah, Haziq Kutty Abba, perlu berehat dilanda kecederaan pangkal paha.
Advertisement
Begitupun, kem negara menerima khabar gembira Aliff Izwan Yuslan mendapat pelepasan Selangor untuk menyertai perjuangan skuad B-23 di Bangkok.
"Kami ada berita baik dan kurang baik.
"Walaupun ada yang kembali dan pergi tetapi senarai kami masih belum mencukupi.
"Tapi kami sahut cabaran ini dan fokus untuk bertemu Vietnam (Khamis ini).
"Kami perlu lihat (situasi) Haqimi Azim -- dapat kembali atau sebaliknya -- (namun) kami memang memerlukan khidmatnya, katanya.
Dalam masa sama, pertahanan muda, Aiman Yusuf, yang terlepas pertemuan dengan Laos, Jumaat lalu, dalam aksi pembukaan Kumpulan B itu akibat demam panas sudah cergas untuk diturunkan, begitu juga penjaga gol, Haziq Mukhriz, yang mula melaporkan diri hari ini.