Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, mengambil tanggungjawab di atas kegagalan kem badminton negara merealisasikan sasaran empat pingat emas dalam Sukan SEA Thailand 2025, termasuk dengan melepaskan jawatannya.
Ini selepas skuad badminton negara hanya dapat meraih satu pingat emas dalam acara beregu wanita menerusi gandingan Pearly Tan-M. Thinaah, biarpun menurunkan skuad terbaik dalam edisi kali ini.
Advertisement
Ia bukan atas dasar kecewa atau merajuk tetapi Rexy melihat kegagalan itu memerlukan seseorang untuk bertanggungjawab dan sedar individu itu adalah dirinya.
"Memang saya bertanggungjawab dan apabila kita sudah melakukan yang terbaik tetapi hanya dapat satu emas, memang ia sesuatu yang perlu dipertanggungjawab," katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Kalau kita bercakap mengenai tanggungjawab, sudah pasti akan ada yang cakap saya perlu turun, jadi saya akan turun.
"Saya hanya berbicara mengenai tanggungjawab dan bukan perkara lain
"Sudah pasti orang akan mengata. Ketika kita kalah dalam acara berpasukan juga orang ada berkata yang barisan jurulatih perlu diperbetulkan.
"Maksudnya, jika ada tuntutan itu, mengapa tidak? Saya bukan bercakap tentang kecewa, bukan.
"Kalau saya cakap saya kecewa, ia tidak adil untuk Pearly dan Thinaah.
"Saya bercakap mengenai tanggungjawab."
Badminton,Sukan SEA Thailand, Rexy Mainaky,