Skuad bola sepak cerebral palsy negara bakal berdepan tugas lebih getir untuk mempertahankan emas yang diraih pada edisi 2023 dalam Sukan Para ASEAN di Korat.
Bagi jurulatihnya, Asnan Md Zaki, prestasi hambar sebelum ini dengan berada di kedudukan tercorot sewaktu Piala Asia-Oceania November lalu, membuka mata pasukan untuk memperbaiki pelbagai aspek khususnya cara mengadaptasi taktikal permainan.
Advertisement
"Kalau ikut kepada pemain sedia ada, mereka boleh mengikut arahan saya.
"Mereka harus mengetahui apakah strategi dan taktikal yang akan digunakan.
"Indonesia adalah pasukan yang hebat. Jadi, kita harus menggunakan pendekatan berbeza.
"Kita tidak boleh bermain secara terbuka," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
Selain itu, beberapa pemain baru turut diserap ke dalam pasukan ekoran kekangan untuk mengumpul semula skuad emas di Kemboja tahun dua tahun lalu.
Dan, keperluan mencari keserasian bermain sebagai satu pasukan bukan penghalang untuk meneruskan misi mempertahan kejuaraan.
"Kita menghadapi sedikit kesukaran tetapi ia tidak mematahkan semangat.
"Campuran daripada pemain senior dan baru berharap membawa kami mempertahankan pingat emas.
"Kesukaran yang dihadapi ialah memanggil semula pemain lama atas kekangan kerja dan ada beberapa yang mengalami kecederaan," kata kapten, Abdullah Reduan Abd Samat.