Di sebalik status sebagai jaguh lontar peluru para Asia, Ziyad Zolkefli, tidak berselindung daripada realiti yang semakin jelas dalam fasa kariernya -- tubuh badannya kini memerlukan masa pemulihan lebih panjang berbanding dahulu.
Ziyad mengakui proses pemulihan menjadi antara aspek paling kritikal dalam rutin hariannya, terutama selepas sesi latihan berintensiti tinggi dan kejohanan berturut-turut.
Advertisement
Dalam masa sama, cabaran yang dihadapi kali ini bukan hanya datang daripada pesaing luar negara, sebaliknya ancaman paling hampir hadir daripada kem Malaysia sendiri. Kelebihan mereka jelas daripada sudut tenaga dan kadar pemulihan yang pantas, satu faktor yang memberi tekanan tambahan kepada Ziyad untuk sentiasa berada pada tahap terbaik.
"Semestinya berkaitan isu kecergasan atau kebolehan pemulihan badan yang sangat laju.
"Orang tua ni recovery process dia lambat sikit berbanding orang muda" -- Itu antara cabaran besar yang kini dihadapi olimpian para lontar peluru negara, Ziyad Zolkefli.
More on Nadi Arena, 7.30 malam!@ASTROARENA pic.twitter.com/UO0jgkcPHS— husnae (@husnazainudin_) January 5, 2026
"Kalau kita ia mengambil masa lama, sedangkan mereka boleh cergas semula dalam masa setengah hari.
"Tetapi, saya akan cuba yang terbaik. Sejujurnya tahap kecepatan pemulihan saya agak merosot," katanya di Nadi Arena.
Namun, bagi pemenang emas lontar peluru t20 Paralimpik Rio 2016 itu, persaingan sihat dalam pasukan adalah petanda positif terhadap hala tuju acara lontar peluru negara.
Dia percaya perbezaan sebenar menjelang Sukan Para ASEAN di Korat nanti terletak pada pengalaman dan kekuatan mental.
"Saya akan membuat satu cabaran luar biasa. Kita bersaing secara sihat.
"Saya yakin 100 peratus untuk memenangi pingat yang pernah saya juarai sebelum ini," tambahnya.