Skip to main content

Sukan Asia

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Azizulhasni mara suku akhir, cabaran Shah Firdaus terhenti

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Azizulhasni mara suku akhir, cabaran Shah Firdaus terhenti
Advertisement

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, meneruskan pemburuan pingat Sukan Asia Aichi-Nagoya apabila mudah melangkah ke suku akhir acara pecut individu lelaki di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa seorang lagi pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom, apabila cabarannya terhenti pada pusingan kedua.

Advertisement

Azizulhasni terlebih dahulu menewaskan pelumba India, David Beckham Elkatohchoongo, pada pusingan pertama sebelum mengatasi wakil Kazakhstan, Kirill Kurdidi, pada pusingan kedua.

Kemenangan itu membolehkan pelumba kelahiran Dungun berkenaan menempah slot ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok.

Advertisement

The Pocket Rocketman akan berdepan pelumba tuan rumah Jepun, Kanata Takahashi, bagi memburu tiket ke separuh akhir.

Prestasi Azizulhasni turut berada pada tahap meyakinkan apabila dia merekodkan masa ketiga terpantas keseluruhan, 9.467 saat, pada sesi kelayakan awal hari ini.

Catatan itu hanya 0.065 saat di belakang rekod kebangsaan miliknya, 9.402s, yang dilakar ketika Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Shah Firdaus yang mencatat masa 9.850s untuk menduduki tempat kesembilan dalam sesi kelayakan, gagal melepasi pusingan pertama selepas tewas kepada pelumba Taiwan, Kang Shih-feng.

Pelumba negara itu bagaimanapun bangkit menerusi repechage pusingan pertama apabila menewaskan pelumba Thailand, Norasetthada Bunma.

Namun, Shah Firdaus turut diberikan amaran kerana gagal mengekalkan laluannya dalam perlumbaan berkenaan.

Dia kemudiannya berdepan pelumba China, Xie Han, pada pusingan kedua tetapi gagal mencatat kemenangan.

Dalam repechage pusingan kedua, Shah Firdaus sekali lagi gagal meneruskan kemaraan apabila sekadar menduduki tempat ketiga dalam kelompoknya di belakang Kang Shih-feng dan pelumba Hong Kong, To Cheuk Hei.

Keputusan itu menyaksikan Shah Firdaus terpaksa mengakhiri cabarannya dalam acara pecut individu lelaki, manakala Azizulhasni menjadi sandaran utama negara untuk meneruskan perjuangan ke separuh akhir esok.

Anda mungkin berminat dengan

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Must Watch Video

Advertisement