Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman menyifatkan pelantikannya selaku pengurus skuad sepak takraw negara menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai satu penghormatan di samping tanggungjawab dan amanah besar yang perlu dipikul sebaik mungkin.
Menyedari ia bukan tugas mudah, Ahmad Zaffry yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor (PSS) mempercayai dengan kerjasama erat keluarga besar Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), tidak mustahil kejayaan yang dilakar dalam Sukan SEA Thailand Disember lalu mampu diulangi di bumi negara Matahari Terbit itu.
Advertisement
Katanya, keutamaan serta fokus PSM ketika ini adalah untuk memastikan skuad negara berada dalam keadaan terbaik menuju temasya itu yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober depan.
Untuk rekod, skuad sepak takraw negara meraih dua pingat perak bagi acara regu dan regu berpasukan lelaki dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.
"Mungkin kejayaan di Thailand membawa pulang dua pingat emas memberi saya kelebihan untuk memimpin pasukan negara lagi.
"Beban semakin tinggi untuk melakar kejayaan kerana ia memerlukan banyak kerjasama daripada pelbagai pihak terutamanya para pemain.
"Kejayaan dalam Sukan Asia 2026 adalah akan menutup semua kejayaan yang ada.
"Saya harap kemenangan dalam temasya dwitahunan sebelum ini menjadi pemangkin untuk terus berjaya," katanya di Nadi Arena.