Ulang-alik dari kediamannya di Klang ke Bangi setiap hari sepanjang sembilan bulan menjadi antara pengorbanan terbesar atlet Para SUKMA Selangor, Nur Adzra Sophea Aminnurasid, dalam misi memburu tiga pingat emas.
Sophea bakal membuka tirai penampilan sulungnya di Para SUKMA 2026 pada 5 September ini.
Hampir setahun selepas kemalangan yang mengubah hidupnya, Sophea mengakui sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibunya, Aziyana Sudin, menjadi kekuatan untuk terus bangkit, komited menjalani latihan dan merealisasikan impian beraksi di Para SUKMA.
Tiga emas yang disasarkan menerusi acara lontar peluru, rejam lembing dan lempar cakera turut diharap dapat menyumbang kepada misi besar kontinjen Selangor.
Majlis Sukan Negeri Selangor meletakkan sasaran 60 pingat emas, sekali gus memburu kejuaraan keseluruhan pertama dalam sejarah penyertaan negeri itu di Para SUKMA.