Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, bertekad menamatkan badi di pentas Kejohanan Badminton Seluruh England yang akan berlangsung dari 3 hingga 8 Mac ini di Birmingham.
Pasangan ranking nombor dua dunia itu sebelum ini dua kali melangkah ke pentas final -- pada 2019 dan 2024 -- namun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara selepas tewas kepada lawan dari Indonesia dalam kedua-dua perlawanan tersebut.
Advertisement
Menurut Aaron, kejohanan tertua badminton dunia itu sentiasa mempunyai nilai sentimental buat mereka.
“Seluruh England adalah kejohanan yang sangat istimewa buat kami. Kami sudah beberapa kali beraksi dan pernah mara ke final, tetapi masih belum berjaya menjulang trofi. Tahun ini kami berharap dapat merealisasikan impian tersebut,” katanya.
Wooi Yik pula menegaskan persiapan rapi di sesi latihan menjadi kunci utama dalam usaha memburu kejuaraan sulung mereka di Birmingham.
“Dalam latihan kami sentiasa memberikan yang terbaik. Latihan adalah medan paling penting untuk menguji kemampuan. Kami akan beri yang terbaik dalam pertandingan dan berharap hasilnya akan memihak kepada kami,” katanya.
Berbeza dengan musim lalu apabila mereka tersingkir seawal pusingan pertama, pasangan negara dijangka tidak berdepan masalah besar dalam aksi pembukaan kali ini apabila diundi menentang beregu Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi–Presley Smith.
Walaupun terkandas di pusingan kedua Terbuka Jerman, kekalahan itu tidak begitu membimbangkan kerana fokus utama mereka adalah untuk berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan bertaraf Super 1000 itu.
Aaron-Wooi Yik juga sudah berada di venue pertandingan lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan melakukan persiapan terakhir.
Sebagai rekod, pasangan negara membuka tirai musim 2026 dengan langkah positif apabila mara ke final Malaysia Open bulan lalu -- satu petanda mereka berada di landasan tepat untuk mencipta kejayaan di All-England kali ini.