Bintang sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo, membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila meledak dua gol dalam aksi kemunculan semula untuk membantu Al-Nassr membenam Al-Najma 5-2 dalam saingan Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.
Ronaldo yang kembali selepas sebulan diketepikan akibat kecederaan, tampil cemerlang di separuh masa kedua untuk memastikan kemenangan bergaya pasukannya.
Advertisement
Meskipun berstatus pasukan tercorot liga, Al-Najma terlebih dahulu mengejutkan Al-Nassr apabila Rakan Al-Tulayhi meledak gol pembukaan seminit sebelum rehat separuh masa pertama.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Al-Nassr bangkit pantas dalam masa kecederaan babak pertama. Abdullah Al-Hamdan menyamakan kedudukan sebelum Sadio Mane meletakkan tuan rumah di depan.
Bersambung separuh masa kedua, Al-Najma kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Felippe Cardoso pada minit ke-47.
Namun, kemunculan Ronaldo benar-benar mengubah rentak permainan. Penyerang veteran itu tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-56 sebelum menambah gol kedua peribadi pada minit ke-73.
Mane kemudian melengkapkan kemenangan bergaya Al Nassr menerusi gol pada masa kecederaan.
Kemenangan ini merupakan yang ke-13 berturut-turut buat Al-Nassr dalam liga, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di puncak carta dengan 70 mata.
Pasukan kendalian mereka kini berada enam mata di hadapan pencabar terdekat, Al-Hilal yang dijadual beraksi menentang Al-Taawoun.
Kembalinya Ronaldo jelas memberi impak besar kepada Al-Nassr yang semakin hampir untuk menjulang kejuaraan liga. Dengan prestasi semasa yang konsisten, mereka kini dilihat sukar digugat dalam perebutan takhta musim ini.