Rasa sakit terpaksa diketepikan seketika buat atlet karate Johor, A. Leidaneswaran, yang memilih untuk berjuang sehingga ke penghujung demi menghadiahkan pingat emas kepada negeri kelahirannya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Turun dalam acara kumite lelaki bawah 67 kilogram, Leida-Neswaran mempamerkan ketahanan mental dan fizikal untuk mengharungi pertarungan sengit sebelum kemenangan akhirnya disahkan.
Sebaik keputusan memihak kepadanya, kegembiraan jelas terpancar pada wajah atlet itu yang menganggap emas berkenaan sebagai hasil daripada pengorbanan serta kesungguhan untuk mengatasi kesakitan ketika berada di gelanggang.
Bagi Leidaneswaran, bukan sekadar kekuatan fizikal yang diperlukan untuk bergelar juara, sebaliknya keupayaan mengawal emosi dan menahan kesakitan menjadi antara faktor penting ketika berdepan detik-detik genting.
Lebih mencabar, atlet Johor itu mendedahkan dia sepatutnya menjalani pembedahan kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) lutut kiri sebelum temasya SUKMA Selangor 2026.
Bagaimanapun, pembedahan tersebut ditangguhkan atas permintaannya sendiri bagi membolehkannya beraksi di pentas SUKMA.
Keputusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Leida-Neswaran berjaya menamatkan saingan sebagai juara dan menyumbang emas buat kontinjen Johor.
Kejayaan tersebut pastinya menjadi lebih bermakna apabila dia terpaksa mengharungi cabaran kecederaan sebelum mampu berdiri sebagai juara di pentas SUKMA.
"Ini SUKMA terakhir saya, 'last dance' saya untuk Johor. Jadi saya perlu berikan yang terbaik.
"Saya banyak menderita, mengalami kecederaan dan pernah dimarahi, tetapi saya bersyukur kerana ibu bapa, jurulatih dan semua rakan sepasukan sentiasa memberikan sokongan serta motivasi," katanya ketika ditemui selepas pertandingan hari ini.
"Tadi saya hanya fikir, beberapa hari ini saya sudah berkorban untuk detik ini. Jadi saya perlu berikan segala-galanya. Waupun cedera, tidak mengapa. Saya hanya mahu menang dan membanggakan ibu bapa, jurulatih serta rakan-rakan," katanya.
"Kadang-kadang apabila sakit, saya hanya tahan dan tidak beritahu sesiapa, kerana kalau saya beritahu jurulatih, dia akan minta saya berehat. Saya tidak mahu berehat kerana ketika rakan-rakan berlatih, saya juga mahu berlatih bersama mereka," katanya.
mengalami kecederaan serius pada lutut kanan dan baru sahaja menjalani pembedahan.
Namun, tanggapan tersebut tidak mematahkan semangat Vaissnavi. Sebaliknya, ia dijadikan pembakar semangat untuk membuktikan bahawa dirinya masih mampu bersaing di pentas tertinggi.
Turun dalam acara kumite wanita bawah 50 kilogram, Vaissnavi tampil dengan keyakinan tinggi meskipun perlu berdepan cabaran daripada kecederaan yang dialaminya.
Keazaman itu akhirnya membuahkan hasil apabila atlet Johor berkenaan menewaskan pencabar dari Wilayah Persekutuan dengan keputusan 5-2 untuk mempertahankan kejuaraan.
Lebih daripada sekadar pingat emas, kejayaan itu menjadi bukti bahawa Vaissnavi mampu bangkit daripada situasi sukar dan menjadikan keraguan orang lain sebagai motivasi.
Kini, dengan emas SUKMA berada dalam genggaman, Vaissnavi berharap pencapaian tersebut dapat membuka semula peluang untuk dirinya kembali menyarung jersi skuad karate kebangsaan.
Bagi atlet muda itu, kejayaan kali ini bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada misi untuk kembali membuktikan kemampuan di pentas lebih besar.