Kepulangan Formula 1 ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sekadar menghidupkan semula nostalgia, malah mencetuskan satu tuntutan jelas dalam kalangan peminat -- bawa kembali F1 ke Malaysia secara tetap.
Kehadiran 261,000 penonton sepanjang hujung minggu perlumbaan menjadi antara perkara yang paling mencuri perhatian, dengan peminat tempatan dan antarabangsa menyifatkan sambutan itu sebagai bukti bahawa Sepang masih mempunyai tempat istimewa dalam kalendar Formula 1.
Di media sosial, rata-rata peminat menyuarakan harapan supaya perlumbaan di Sepang tidak berakhir sebagai kunjungan sementara.
“Bangga tengok jumlah penonton F1 di Sepang. Semoga menjadi pembuka jalan untuk Malaysia kembali menjadi tuan rumah. We can do this! Malaysia Boleh,” tulis seorang pengguna, amy_miyake.
Seorang lagi pengguna, izzar, turut menyambut kepulangan F1 ke Malaysia sambil berharap ia dapat berulang pada masa depan.
“Thank you for visiting our country. This is Malaysian Hospitality. Hope that F1 will come back again in Malaysia,” katanya.
Bukan hanya peminat tempatan yang mahu melihat Sepang kembali secara tetap.
Keeshmatstats menyifatkan Sepang sebagai litar yang mampu memberikan elemen tidak dijangka dalam perlumbaan, termasuk cuaca panas, hujan tropika dan perubahan keadaan yang pantas.
“Bring this track back permanently. Nothing flips the script like Sepang does,” tulisnya.
Malah, angka kehadiran 2026 turut dibandingkan dengan sejarah penganjuran F1 di Sepang.
Menurut perkongsian Firdaus Mohd Saleh, jumlah penonton bagi perlumbaan F1 di Sepang sebelum ini mencatat angka tertinggi 126,690 pada 2008, sebelum 261,000 penonton direkodkan pada 2026.
Angka itu menjadi antara sebab peminat percaya sambutan terhadap F1 di Malaysia masih mempunyai potensi besar.
Namun, ada juga suara yang mengingatkan bahawa keputusan membawa kembali F1 secara tetap perlu mengambil kira kepentingan dan kemampuan negara.
Seorang pengguna, zulfadhlizin, menyatakan rasa bangga melihat F1 kembali ke Malaysia, selain percaya sukan berkenaan mampu membawa pelancong, pendedahan global dan perbelanjaan ke negara.
Pada masa sama, beliau mengakui sekiranya kos penganjuran lebih wajar disalurkan kepada sektor seperti kesihatan atau pendidikan, keutamaan itu perlu dihormati.
Pandangan itu menggambarkan dilema yang bakal dihadapi kerajaan sekiranya Malaysia mahu menjadikan Sepang sebagai destinasi tetap Formula 1.
Namun, buat peminat, satu perkara jelas — 261,000 penonton bukan angka kecil.
Selepas sembilan tahun tanpa perlumbaan Formula 1 di Sepang, sambutan luar biasa itu menghidupkan semula persoalan sama ada Malaysia patut kembali menjadi sebahagian daripada kalendar F1.
Dan mesej daripada peminat di seluruh dunia juga semakin jelas:
Sepang sudah kembali. Kini mereka mahu ia kekal.