Datang ke Kuala Lumpur untuk berlari, tetapi pulang dengan satu sebab baharu untuk kembali -- rakyat Malaysia.
Itu pengalaman yang dikongsikan pelari dari Jepun, Daisuke Kobayashi, selepas menyertai acara 10 kilometer Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026, yang menjadi perlumbaan luar negara pertamanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu mengakui pengalaman berlari di ibu negara Malaysia meninggalkan kenangan cukup istimewa, biarpun perlu bangun seawal jam 3 pagi sebelum perlumbaan bermula pada jam 6 pagi.
Kaki yang keletihan, cuaca tropika serta laluan berbukit yang lebih mencabar daripada jangkaannya tidak menghalang Daisuke menikmati setiap detik perlumbaan.
“KL, I came for the race. I’m coming back for the people,” tulisnya menerusi Threads.
Menurut Daisuke, antara perkara yang paling menyentuh hatinya ialah suasana sepanjang laluan apabila jalan raya yang biasanya dipenuhi kenderaan bertukar menjadi ruang buat ribuan pelari.
Sorakan penonton, lambaian tangan dan tepukan ‘high five’ daripada orang ramai menjadi suntikan semangat ketika dia berdepan kilometer-kilometer sukar.
“Jalan yang biasanya penuh dengan kereta menjadi bandar untuk pelari. Setiap lambaian, setiap sorakan dan setiap high five membuatkan kilometer yang sukar terasa sedikit lebih mudah,” katanya.
Lebih menarik, interaksi selepas perlumbaan turut meninggalkan kesan kepada Daisuke.
Dia berkongsi bagaimana ucapan “Good job, bro!” diterimanya beberapa kali selepas menamatkan perlumbaan.
Biarpun datang dari negara berbeza dan bertutur dalam bahasa yang berbeza, Daisuke melihat satu persamaan yang menghubungkan semua pelari — rasa hormat terhadap usaha masing-masing.
“Different countries. Different languages. The same respect,” katanya.
Daisuke turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, sukarelawan, penyokong serta semua pelari yang berlari bersamanya kerana menjadikan penampilan sulungnya dalam perlumbaan luar negara begitu bermakna.
“Terima kasih, semua! Jumpa lagi, KL!
“I had so much fun. I’ll be back!” katanya.
Buat Daisuke-san, KLSCM 2026 bukan sekadar catatan 10 kilometer.
Dia datang ke KL untuk perlumbaan, tetapi keramahan rakyat Malaysia membuatkan dia mahu kembali.