Ibarat saingan Sepaktakraw League (STL).
Itu perumpamaan terbaik untuk mengatakan tentang final acara regu lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2026 yang dijuarai oleh Pulau Pinang selepas mereka bangkit untuk menumpaskan Sabah.
Dengan barisan pemain yang juga beraksi dalam STL, ia seperti memberikan satu rencah kepada final itu sendiri.
Dan bagi kapten Pulau Pinang, Muhammad Irzan Nazri, dia ingin menghadiahkan kemenangan buat ibunya yang sedang sakit.
"Ibu bapa saya dilanda masalah kesihatan.
"Saya telah berjanji untuk menghadiahkan emas kepada mereka. Saya harap kemenangan berganda ini -- termasuk juara antara regu boleh buat mereka makin bertabah.
"Sepanjang saingan ini, kami sepasukan saling memberi semangat kepada sesama sendiri," katanya.
Sementara itu, kali terakhir Pulau Pinang menjadi juara acara regu adalah dalam Sukma 2018 dan pengurus pasukan, Hasnul Hadi, menyifatkan untuk membawa kembali gelaran itu ke Pulau Mutiara selepas lapan tahun, merupakan satu detik yang sangat manis.
"Pemain berikan komitmen 150 peratus, mereka hendakkan kemenangan untuk memberikan emas kepada Pulau Pinang.
"Kebanyakkan anggota pasukan ini duduk berjauhan, beberapa minggu sebelum temasya baru dapat berkumpul.
"Jadi kami lambat dapat bentuk persefahaman pasukan," katanya.