Kerancakan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 berterusan di Arena MBSJ Puchong menerusi sukan sepak takraw membabitkan kategori regu berpasukan lelaki menemukan pasukan Selangor dan Sabah.
Regu A yang dibarisi Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul (apit kiri), Shahrain Zameer Shamsuddin (apit kanan) dan Syafi Haziq Baharudin (tekong) bagaimanapun diberi tentangan sengit regu A Sabah.
Set pertama yang mudah buat regu Selangor yang tidak asing dalam arena Liga Sepak Takraw (STL) dengan mutlakkan kemenangan 15-9.
Tetapi menuju set kedua, Maxcelles Omikol (apit kiri), Azman Mad Lajun (tekong) dan Jumadi (apit kanan) mendapat tonik terbaik ketika rehat dengan memperagakan corak permainan lebih yakin.
Pasukan Negeri di Bawah Bayu itu memimpin permainan 7-2 selepas aksi kurang memberangsangkan Selangor tetapi sempat mengejar dan menyamakan kedudukan.
Namun, Sabah kembali perkemaskan permainan dan noktahkan kemenangan 15-12 untuk heret aksi ke set penentuan dengan keduanya saling berkejaran mata.
Tetapi kutipan mata Sabah terhenti diangka 10 selepas Selangor konsisten menghasilkan mata sekaligus sumbang mata pertama untuk regu berpasukan lelaki.