Johor mencipta sejarah baharu di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 apabila skuad bola sepak lelaki mereka akhirnya meraih pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan negeri itu di temasya berkenaan.
Namun, kejayaan tersebut hadir selepas Johor terpaksa melalui perjalanan cukup dramatik apabila perlawanan akhir menentang Selangor berlanjutan sehingga 120 minit sebelum penentuan sepakan penalti memihak kepada mereka dengan keputusan 4-2.
Johor membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi Danish Amirudin, yang tenang menyudahkan peluang untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Selangor memperoleh sepakan penalti kira-kira 10 minit kemudian selepas Haykal Danish dijatuhkan Lutfil Hadi di dalam kawasan penalti.
Sepakan tersebut disempurnakan untuk mengikat kedudukan 1-1, sekali gus menghidupkan kembali peluang tuan rumah untuk memburu emas di hadapan penyokong sendiri.
Memasuki separuh kedua, Johor tampil lebih agresif dalam usaha mencari gol kemenangan.
Antara peluang terbaik hadir pada minit ke-62 apabila Johor melancarkan percubaan berturut-turut ke arah gawang Selangor, namun penjaga gol muda tuan rumah tangkas menafikan usaha tersebut.
Selangor pula hampir melakukan kejutan pada minit ke-84 apabila peluang keemasan terhidang untuk mereka mencipta jaringan kedua.
Namun, kesempatan itu gagal disempurnakan dan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit, sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.
Tambahan 30 minit turut gagal menghasilkan sebarang jaringan apabila kedua-dua pasukan terus buntu di hadapan gawang.
Akhirnya, nasib juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Johor tampil lebih tenang dalam situasi tekanan tinggi itu apabila berjaya menyempurnakan empat sepakan, manakala Selangor hanya mampu menjaringkan dua.
Keputusan 4-2 menerusi penentuan penalti itu mengesahkan Johor sebagai juara bola sepak lelaki SUKMA Selangor 2026.