Bermula dengan gurauan mengenai lagu Negaraku, perenang Selangor, Eliza Shen Ai Tan akhirnya menjadi antara kisah paling menarik di kolam renang SUKMA Selangor 2026.
Gelagat polos atlet berusia 19 tahun itu ketika berseloroh dengan wartawan, Norsyarafina Nasrom,mengenai kemampuannya menyanyikan lagu kebangsaan mencetuskan senyuman dalam kalangan petugas media di Pusat Akuatik Darul Ehsan.
“Saya tahu Negaraku… tetapi suara saya kurang bagus,” selorohnya ketika cuba meyakinkan wartawan bahawa dia sudah biasa menyanyikan lagu kebangsaan sejak kecil.
Eliza, yang mempunyai darah warisan Malaysia-Australia, turut mengimbau zaman persekolahannya di Selangor yang menyaksikan lagu Negaraku bukan sesuatu yang asing buat dirinya.
Namun, di sebalik sisi santai itu, Eliza membuktikan dirinya serius apabila membuat penampilan sulung di pentas SUKMA dengan prestasi luar biasa.
Daripada 20 pingat emas yang diraih Selangor dalam acara renang, tujuh menjadi milik Eliza, termasuk dua yang menyaksikan dia memecahkan rekod kebangsaan.
Pencapaian tersebut cukup untuk mengangkat namanya sebagai Olahragawati SUKMA Selangor 2026, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kariernya.
Lebih menarik, prestasi Eliza turut mendapat perhatian barisan kejurulatihan Malaysia Aquatics (MAS) yang hadir menyaksikan sendiri potensi dimilikinya.
Ketua Jurulatih Renang Malaysia, Michael Kinross, melihat perkembangan Eliza sebagai antara prospek yang boleh dipertimbangkan untuk dibawa ke tahap lebih tinggi.
Jika momentum itu dapat diteruskan, cabaran bersama skuad kebangsaan bakal menjadi pentas seterusnya buat Eliza untuk membuktikan bahawa kejayaan di SUKMA bukan sekadar pencapaian sekali lalu.
Selain Eliza, Selangor turut memiliki beberapa lagi bakat yang menyerlah sepanjang saingan renang, antaranya Danial Williame, Cayden Gooi dan Shannon Yan Qing Tan.
Mereka bergabung dalam acara 4x100 meter rampaian campuran untuk membantu Selangor meraih emas.
Shannon pula mencuri perhatian dengan kutipan lapan pingat emas secara peribadi, menjadikannya antara atlet paling konsisten di kolam renang.
Bagaimanapun, dari segi pencalonan Olahragawati SUKMA, Eliza dilihat mempunyai kelebihan apabila dua daripada tujuh emasnya hadir bersama rekod kebangsaan.
Itu tidak bermakna pencapaian Shannon kurang hebat kerana jumlah lapan emas yang diraih tetap membuktikan kualiti dan konsistensinya sepanjang temasya.
Apa yang lebih penting, kemunculan Eliza dan Shannon memberi gambaran positif mengenai masa depan renang Selangor dan negara.
Jika SUKMA 2026 menjadi pentas untuk memperkenalkan bakat baharu, Eliza Tan mungkin antara nama yang paling wajar diperhatikan selepas ini.