Skuad kriket kebangsaan diharap mampu mengulangi pencapaian Sukan Asia Hangzhou 2022 ketika membuat penampilan di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Harapan itu disuarakan Timbalan Chef de Mission (CDM) Malaysia, Saidatul Afifah, yang melihat skuad negara kini berada dalam fasa akhir persiapan menjelang temasya tersebut.
Menurutnya, beberapa siri perlawanan persahabatan dan kejohanan yang disertai skuad kebangsaan menjadi medan penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan sebelum cabaran sebenar di Aichi-Nagoya.
Dalam edisi Hangzhou, skuad kriket negara berjaya melangkah ke peringkat suku akhir, namun perjalanan mereka terhenti selepas tewas tipis kepada salah satu kuasa besar kriket Asia, Bangladesh.
Lebih mengecewakan, Malaysia hanya dipisahkan dua larian dalam perlawanan tersebut.
Namun, pencapaian berkenaan tetap menjadi antara sandaran untuk skuad negara melangkah lebih jauh di Aichi-Nagoya.
Dia berkata pihak pengurusan kontinjen Malaysia akan memberikan segala sokongan yang diperlukan bagi membantu pasukan kriket mencapai sasaran yang ditetapkan.
Afifah turut berharap barisan pemain dapat memanfaatkan sepenuhnya tempoh persiapan terakhir bagi memastikan mereka hadir ke Jepun dengan tahap keyakinan dan prestasi terbaik.
Dengan pengalaman Hangzhou sebagai bekalan, mampukah skuad kriket negara melangkah lebih jauh dan mencipta kejutan di Aichi-Nagoya 2026?