Persekutuan Bolasepak Seluruh India (AIFF) telah memfailkan aduan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung dakwaan tindakan berbaur perkauman oleh seorang pemain Palestin, Taha Soueidan, semasa kemenangan 4-1 India dalam perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia bawah 17 tahun (B-17) 2027 di Cheras pada Selasa lalu.
Aduan tersebut dibuat susulan satu insiden di mana seorang pemain Palestin didakwa menunjukkan isyarat tidak bermoral ke arah kapten India, Dallalmoun Gangte, yang disifatkan sebagai satu sindiran berbau busuk, berdasarkan video yang tular di media sosial.
Kemudian, kecoh pula di media sosial tular satu video kelihatan seorang lagi tonggak Palestin, Mohammed Jamhour, melakukan kekasaran agresif sehingga mengakibatkan pergaduhan hampir tercetus.
India akan mengesahkan kemaraan sekiranya mereka berjaya mengelakkan daripada tewas dalam perlawanan terakhir menentang tuan rumah, Malaysia, esok.