Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, Abdul Mutalib Mydin, menerima kunjungan istimewa di satu pusat jagaan warga emas, berikutan keadaan kesihatan yang semakin membataskan pergerakannya sejak mengalami angin ahmar pada 2021.
Lawatan tersebut dihadiri Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, bersama Pengerusi Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran Selangor, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, serta beberapa bekas atlet negara seperti Ridzuan Puzi, S Selvaraju dan Datuk Foo Kok Keong.
Advertisement
Tujuan lawatan itu adalah untuk menyampaikan sumbangan serta melihat keadaan semasa Abdul Mutalib, di samping memberi semangat agar dia mampu kembali berjalan seperti sediakala.
Dalam masa sama, Abdul Mutalib meluahkan rasa syukur atas keprihatinan pelbagai pihak yang tidak putus memberi sokongan kepadanya.
Dia turut memasang impian untuk kembali sihat agar berpeluang bertemu semula rakan-rakan seperjuangannya, yang disifatkan sangat erat bagai aur dengan tebing.
"Kami atlet ibarat sebuah keluarga biarpun berbilang kaum.
"Baik yang sihat mahupun tidak.
"Ramai yang datang membantu saya. Kalau saya sudah sihat, saya akan melawat mereka pula," kata Mutalib.
Tambah Noorul Ariffin: "Saya harap dia akan balik dan usaha untuk bekas atlet.
"Kami ingin bekas atlet bantu bekas atlet."