“Saya sudah sedia fizikal dan mental.”
Pemain muda wanita sensasi negara, Qaseh Rania Najib, mengakui sudah bersedia untuk terbang ke Jerman seawal Mei depan selepas sah menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama Borussia Dortmund.
Advertisement
Pemain berusia 16 tahun itu menjadikan pengalamannya beraksi dan menimba ilmu di Eropah terdahulu sebagai bekalan untuk bersaing secara kompetitif bersama kelab gergasi Liga Jerman itu.
"Saya banyak melakukan persiapan daripada segi kekuatan, taktikal dan teknikal, paling penting adalah mental.
"Saya perlu bersedia dengan perubahan cuaca, pasukan dan rakan pasukan yang bagus.
"Saya amat mengharapkan untuk boleh menjadi pemain profesional di sana," katanya.
Qaseh Rania menjadi pemain Asia terbaharu yang menyertai kelab berkenaan dan sebelum ini, pemain Singapura, Danelle Yan, menjadi pemain pertama dari benua ini yang menyertai Dortmund pada 2023.
Bakat pemain Malayan Tigress B-19 itu turut diintai beberapa kelab Eropah seperti Real Betis dan Parma.
Bagaimanapun, Dortmund menjadi pilihannya bukan sahaja atas faktor pendidikan, malah pihak pengurusan kelab Der BVB itu turut menunjukkan kesungguhan menerusi pelan perkembangan karier yang jelas.