Skuad negara memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2026 dengan deretan siri serangan yang singgah di kawasan D Korea Selatan, namun dikecewakan dengan mutu pertahanan berdisiplin tinggi pasukan lawan.
Senario ini memaksa tonggak negara, Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal, bergelut mencipta peluang merbahaya di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, tatkala gol pembukaan yang didambakan belum kunjung tiba.
Sebaliknya, Korea Selatan tampil lebih garang dalam suku kedua menerusi deretan gerakan pukulan sudut penalti, mujur kecemerlangan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman, memastikan gawang kekal tidak dibolosi dalam separuh masa pertama itu.
Speedy Tigers mengekalkan intensiti tinggi dan terus menekan benteng pelawat dan selepas enam minit, penantian gol akhirnya dileraikan penyudah Azrai Aizad menerusi kawalan bola sempurna.
Dua minit berselang, skuad kendalian Brendon Carolan itu terus mengukuhkan cengkaman apabila menggandakan kedudukan hasil tolakan mudah Azimuddin Syakir Kamaruddin yang melengkapkan gerakan lincah kem negara.
Momentum serangan skuad negara kemudian terencat sebaik kad kuning yang dilayangkan ke atas Adam Ashraf Johari. Meskipun memiliki kelebihan seorang pemain, Korea Selatan tetap gagal mendominasi saingan.
Skuad negara pula melancarkan serangan balas dan dikurniakan penalty stroke yang disempurnakan Faizal Saari untuk melengkapkan kemenangan 3-0 dalam aksi pembukaan kempen edisi ke-32 itu.
Ayuh teruskan sokongan kepada sukan hoki negara! Saksikan Piala Sultan Azlan Shah 2026 bersama Tenaga Nasional Berhad.